SS14, Petaling Jaya runtuh">Jaya Supermarket Seksyen 14 SS14, Petaling Jaya runtuh . Apa dah jadi ?? Ke mana perginya Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Enginner yang sepatutnya meneliti setiap kerja dari setiap aspek? Atau ada kepincangan di mana-mana.
Harap yang terperangkap dapat diselamatkan.
Utusan
KUALA LUMPUR 29 Mei - Tidak mengikut nasihat pakar perundingan dan kecuaian mungkin merupakan faktor yang menyebabkan bangunan Jaya Supermarket di Petaling Jaya runtuh semalam.
Setiausaha Agung, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Osman Abu Bakar berkata, bukanlah mudah bagi sebuah bangunan yang sudah berusia beberapa dekad untuk runtuh tanpa sebab.
"Mangsa merupakan pekerja di bangunan itu ketika sedang menjalankan kerja-kerja persediaan sebelum merobohkan salah satu blok bangunan tersebut. Jadi besar kemungkinan mereka melakukan kerja secara tergesa- gesa.
"Mungkin juga mereka tidak mengikut arahan pengurus projek atau pakar perundingan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas kejadian tersebut yang setakat ini telah mengorbankan empat orang dan tiga lagi yang tertimbus belum diketahui nasib mereka, katanya, mungkin juga semasa proses pemecahan bangunan tersebut telah berlaku kesilapan.
"Mungkin ketika mangsa melakukan kerja-kerja pengubahsuaian secara tidak sengaja ada perkara yang tidak ditekankan. Secara tidak langsung boleh menyebabkan bahaya," katanya.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputra Kelas F Kuala Lumpur (Perkobf-KL)Ahmad Awang pula berkata, pelaksanaan kerja yang tidak mengikut spesifikasi mungkin antara penyumbang terhadap keruntuhan bangunan itu.
"Kerja tidak ikut peraturan dan hendak cepat mungkin penyebabnya. Sebab kalau mereka buat kerja dalam keadaan kelam kabut pastinya akan timbul masalah. Namun kita belum tahu punca sebenarnya. Itu hanyalah andaian," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejadian tersebut berlaku akibat daripada kegagalan melaksanakan langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.
''Sepatutnya satu proses penilaian risiko (HIRARC) atau pengenalpastian hazard, penilaian risiko dan kawalan risiko perlu dilakukan sebelum kejadian runtuhan berlaku.
''Perkara itu penting demi untuk memastikan keselamatan pekerja dalam industri pembinaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.