Sebenarnya aku tertarik apabila membaca akhbar Utusan Malaysia. Ianya berkenaan hukum paksa pelajar mengutip derma...mari kita baca bersama-sama..
Haram paksa pelajar kutip derma
SOALAN
Menderma memang digalakkan oleh agama. Namun, saya kadang-kadang musykil dan tidak mahu menderma apabila dihampiri oleh kanak-kanak yang mendakwa mereka ini datang dari sekolah agama atau tahfiz di tempat seperti perhentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya. Sebabnya, terlalu kerap saya dihampiri oleh kanak-kanak daripada kumpulan yang sama. Adakah saya berdosa dalam keadaan begini?
JAWAPAN
TIDAK berdosa, ini kerana menderma merupakan suatu yang digalakkan oleh agama. Cuma seperkara yang perlu dipelihara dalam menangani peminta derma ialah mereka tidak boleh diherdik. Mengherdik peminta derma hukumnya berdosa. Ini kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Adapun orang yang meminta (bantuan) maka janganlah engkau tengking herdik. (al-Duha:10)
Keduanya menjaga hati dan perasaan, ini kerana kadang-kadang walaupun mulut tidak bercakap hati berbisik dengan meniupkan perasaan sangka buruk terhadap peminta sedekah dan bantuan. Maksudnya orang yang dirayu untuk memberi bantuan kalau tidak dapat menghulurkan apa-apa bantuan, jangan menghina dan mengherdik mereka.
Sebenarnya ada banyak cara lain yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan. Saluran untuk mendapatkan bantuan juga banyak di negara ini. Bantuan boleh diperoleh melalui lembaga atau pusat zakat negeri. Ataupun dapatkan kebenaran dari jabatan agama negeri bagi mengutip derma di masjid pada hari-hari tertentu. Bukan dengan cara menghantar budak-budak kecil yang sepatutnya berada di sekolah atau asrama untuk mengutip derma.
Saya juga pernah dan selalu didatangi budak-budak yang mendakwa dari sekolah dan asrama tertentu untuk mengutip derma, kadang-kadang ada yang meminta derma dengan menjual kalendar atau takwim, ayat-ayat al-Quran dan buku-buku agama. Pernah saya bertanya kepada salah seorang budak yang menghampiri saya untuk tujuan jual takwim dengan berkata: “Assalamualaikum pakcik, nak beli kalendar? Beli sambil menderma rumah anak-anak yatim pakcik.”
Saya bertanya kepada budak tersebut: “Kamu tak belajar ke hari ini dik?" Dia jawab: “Belajar lah ni, cari duit untuk asrama aktiviti kokurikulum di tempat kami belajar,” ujarnya. Macam-macam persoalan yang bermain di fikiran saya pada ketika itu, bila budak-budak itu belajar? Ibu bapa kepada budak-budak tu tahu tak anak mereka kutip derma dengan menjual kalendar? Kenapa tidak guru-guru di rumah anak yatim yang mengutipnya? Atau mudir dia sendiri yang melakukannya?
Banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk menjana ekonomi sekolah atau pusat penjagaan anak-anak yatim. Saya cukup terkilan dengan sikap yang tidak bertanggungjawab sesetengah sekolah yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapat simpati orang ramai dalam mengumpul dana. Kadang-kadang saya dapati budak-budak ini dihantar di waktu pagi dan dibiarkan mengutip duit sampai petang, ada kalanya sampai malam.
Kasihan sungguh keadaan anak-anak yang menjadi pengemis di awal usia. Ada di antara mereka yang menangis dan merayu kepada orang ramai dengan alasan “kalau tak jual nanti kena marah, tak dapat makan.” Saya berharap agar pihak berkuasa tempatan dan penguatkuasa jabatan-jabatan agama perlu bertindak ke atas pertubuhan dan rumah-rumah kebajikan yang mengeksploitasi kanak-kanak bagi perolehan dana dengan mengutip derma.
Perbuatan ini bercanggah dengan agama Islam. Ini kerana kanak-kanak yang sepatutnya mempelajari Matematik dan Sains di sekolah ditugaskan di stesen-stesen minyak dan R&R bagi tujuan mengutip dana. Hukumnya haram dan berdosa. Paling tak patut ialah keuntungan dan kutipan yang lumayan berbaloi untuk pengasas rumah kebajikan. Dia dan anak isterinya hidup mewah, cukup makan, belanja cukup, pakaian cukup. Malahan ada yang pernah saya lihat memiliki kereta mewah.
Apa yang saya sebutkan ini sebahagian rumah kebajikan bukan semua. Namun saya tetap tidak setuju menyuruh kanak-kanak atau para pelajar dari sekolah kebajikan ini ditugaskan kutip derma di tengah-tengah masyarakat.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment