Akhirnya PPSMI telah diputuskan kedudukanya!!
Persidangan meja bulat oleh pakar-pakar memutuskan bahawa ada 7 pilihan:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.
sebahagian petikan berita dari BH
Pilihan itu dirumuskan selepas lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI diadakan, yang disertai tokoh akademik, penyelidik, parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, turut menyertai persidangan semalam.
Ia diadakan bagi meneliti serta membahaskan semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan PPSMI yang mencetuskan kontroversi berikutan desakan sesetengah supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya.
PPSMI yang bermatlamat meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam bahasa Inggeris dimulakan dengan projek perintis lima tahun pada 2003.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, pada sidang media selepas mempengerusikan persidangan itu, berkata laporan rumusan berkenaan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, secepat mungkin sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri.
“Hishammuddin sedang melakukan lawatan kerja ke luar negara dan dijangka balik dalam masa beberapa hari ini untuk meneliti opsyen yang ada.
“Saya ingin tegaskan bahawa persidangan meja bulat atau keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 tidak menentukan keputusan mengenai PPSMI, tetapi ia akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk keputusan muktamad,” katanya.
Mengenai persiapan untuk pengajaran Sains dan Matematik bagi sesi persekolahan akan datang, Wee berkata, dasar PPSMI tidak akan diubah sehingga pengumuman dibuat di peringkat Jemaah Menteri.
“Jika tidak ada pengumuman, maka secara konvensinya tiada perubahan akan berlaku (pada sesi persekolahan akan datang). Sehingga ada pengumuman, apa yang perlu diubah akan disusuli dengan tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau juga berkata keputusan mengenai PPSMI tidak akan dijalankan atas kepentingan politik, tetapi dibuat secara profesional.
“Datuk Seri Hishammuddin sendiri mengecualikan diri daripada persidangan meja bulat siri pertama hingga kelima supaya beliau pada peringkat akhir dapat menerima pandangan semua pihak.
“Jadi saya tidak mahu ada yang sangka bahawa kerajaan membuat keputusan mengenai PPSMI tanpa menerima pandangan pelbagai pihak,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang turut menyertai persidangan itu, berkata perkara penting yang diambil kira dalam merumuskan pelaksanaan PPSMI adalah untuk memastikan pelajar dapat memahami dan menguasai dengan mudah kedua-dua mata pelajaran terbabit.
"Ini penting supaya pelajar dapat memahami sepenuhnya konsep pembelajaran Sains dan Matematik, sekali gus meningkatkan kebolehan mereka berfikir dengan lebih kreatif dan inovatif.
"Penggunaan bahasa Melayu sudah terbukti mampu melahirkan ramai golongan profesional dan saintis sebelum diperkenalkan PPSMI. Di negara maju, contohnya Jepun, Perancis dan Korea, mereka tetap boleh membangun walaupun menggunakan bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris pula boleh terus dipertingkatkan menerusi pendekatan lain, seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain memantapkan penguasaan bahasa itu oleh tenaga pengajar.
Jalan-jalan adikberadik- Pulau Pinang 2
7 years ago
1 comment:
camne nak dptkan info pasal persidangan meja bulat ni lg? definisi and fungsi dia?
nak buat assignment tp ssh nak cari definition dia..
Post a Comment