Pendidikan di Malaysia telah mengalami perubahan yang pelbagai dalam jangka masa yang panjang. Kita cuba membangunkan sistem pendidikan mengikuy acuan kita sendiri. Inilah telah menarik minat banyak pendidikan luar negara untuk mencontohi sistem pendidikan kita.
Baru-baru ini, delegasi dari Technical Vocational Training Corporation (TVTC) Arab Saudi telah melawat ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (SBPIG), Selangor untuk mempelajari dan mencontohi sistem pendidikan negara dalam mengenal pasti pelajar pintar dan membentuk mereka menjadi modal insan cemerlang dalam pembangunan negara.
Ketua Delegasi TVTC, Abdullah Myazi berkata, pihaknya ingin belajar daripada kepakaran dan pengalaman Malaysia melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional sehingga berupaya melahirkan pekerja tempatan yang cemerlang.
Menurut beliau, Malaysia menjadi pilihan kerana ia telah membuktikan kemampuannya menjadi sebuah negara Islam membangun yang paling maju dan berjaya dalam kalangan anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).
`Kerjasama yang erat antara kerajaan kedua-dua negara memudahkan lagi pertukaran teknologi, pengalaman dan kepakaran,` tambahnya.
Sementara itu, Pengetua SBPIG, Norlia Ahmad Shuhaili berkata, kunjungan delegasi TVTC membuktikan usaha Kementerian Pelajaran untuk memartabat dan memperkasakan sistem pendidikan negara melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berjaya mencapai matlamatnya.
`Ia juga menunjukkan bahawa dunia mengiktiraf sistem pendidikan kita,` ujarnya.
Kunjungan tersebut, kata Norlia, turut menaikkan semangat guru dan pelajar untuk mengekal dan melonjakkan lagi prestasi akademik sekolah.
Tambahnya, sebelum ini SBPIG telah menerima kunjungan dari Brunei dan Oman yang ingin mencontohi kejayaan sekolah terbabit dalam akademik dan kokurikulum.
Selain lawatan tersebut, delegasi TVTC seramai 25 ketua jabatan dan pensyarah itu turut mengikuti latihan pembangunan sumber manusia selama 12 di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Latihan dikendalikan oleh syarikat tempatan yang dilantik sebagai perunding kepada TVTC iaitu EMC Management Centre Sdn. Bhd.
Dari perspektif lain, kejayaan syarikat ini membuktikan kepakaran kita diterima oleh negara luar dan satu kejayaan dalam mencapai Wawasan 2020.