* Pendidikan Seumur Hidup: Bantah PPSMI : 8 Ditahan

Sunday, March 8, 2009

Bantah PPSMI : 8 Ditahan

Bantah PPSMI
(petikan Utusan Malaysia,)

KUALA LUMPUR 7 Mac – Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang perarakan kira-kira 5,000 penyokong perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) daripada menghampiri Istana Negara, hari ini.

Perhimpunan anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) itu bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Namun, ia bertukar menjadi kecoh apabila penyokong terbabit berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis untuk berbuat demikian.

Penyokong perhimpunan itu yang mula berkumpul sejak pukul 1 petang di Masjid Negara, kompleks beli belah Sogo dan Pasar Seni menjadi sukar dikawal apabila mereka berarak ke Istana Negara kira-kira sejam kemudian.

Bermula dari pekarangan Masjid Negara, kekecohan tercetus apabila ribuan penyokong yang berkumpul bertindak agresif merempuh halangan polis. Mereka berarak sejauh satu kilometer menuju ke Istana menerusi Jalan Syed Putra.

Kira-kira 25 minit kemudian, pergerakan itu menghampiri Istana Negara, menyebabkan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Terdapat segelintir peserta perarakan itu yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.

Ketika itu, terdengar seorang di antara penyokong memaki hamun pasukan FRU itu dengan perkataan ‘anjing’.

Insiden petang ini turut menyebabkan beberapa jalan utama di ibu negara terutamanya Jalan Mahameru sesak teruk di kedua-dua arah sepanjang kekecohan ketika perarakan itu berlaku.

Kira-kira pukul 2.50 petang, Pengerusi GMP Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyerahkan memorandum itu di hadapan pintu masuk bangunan Istana Negara.

Memorandum itu diterima oleh wakil Istana Negara, Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithanini.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, lapan orang ditahan di sekitar Masjid Negara dan berhampiran Istana Negara kerana menyertai perhimpunan yang tidak mendapat permit polis itu.

Menurut beliau, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Dang Wangi untuk disiasat mengikut mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

“Polis terpaksa mengambil tindakan tegas dengan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan ‘meriam air’ untuk menyuraikan mereka.

“Polis juga memeriksa 119 orang lagi kerana ingkar arahan bersurai,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, Polis Kuala Lumpur tidak mengeluarkan permit untuk perhimpunan dan perarakan tersebut.

“Bagaimanapun, terdapat segelintir penyokong yang menimbulkan kekecohan sehingga keadaan menjadi tidak tenteram,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails