* Pendidikan Seumur Hidup: Bing vs Google

Thursday, September 10, 2009

Bing vs Google

bing

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
rencana@kosmo.com.my

Perang enjin carian Internet semakin hangat hari ini. Semuanya ingin merampas takhta Google. Adakah Bing yang dihasilkan Microsoft mampu menyaingi Google?

SEBUT sahaja enjin carian, Google tentunya nama yang sering bermain di bibir pengguna Internet di segenap pelosok dunia. Dinobatkan sebagai antara enjin carian Internet terpantas dan mampu menghasilkan keputusan carian yang bertepatan dengan kehendak pengguna, Google sering dianggap sebagai satu penanda aras prestasi bagi enjin carian lain dalam usaha mempertingkatkan keupayaan mereka.

Jika tahun lalu, Cuil muncul dalam persaingan atau lebih tepat lagi, perang enjin carian dalam usaha menandingi Google, kini muncul satu lagi enjin carian lain bagi memenuhi permintaan pengguna. Jika Cuil dibangunkan oleh bekas pakar yang berpengalaman dalam pembangunan dan reka bentuk enjin carian Google itu sendiri, enjin carian yang diberi nama Bing ini dibangunkan oleh seteru utama Google iaitu Microsoft.

Microsoft tidak pernah berputus asa dalam usaha menghasilkan sebuah enjin carian yang dapat memenuhi cita rasa pengguna. Menawarkan perkhidmatan mereka melalui laman www.bing.com, Bing disifatkan sebagai satu ‘kelahiran semula’ teknologi carian Microsoft. Sebelum ini, enjin carian Microsoft dikenali sebagai Live Search, Windows Live Search dan MSN Search.

googlewifi

Bing bukanlah satu-satunya enjin carian yang cuba menyaingi Google. Sebelum ini pun telah banyak enjin carian lain cuba menundukkannya, tetapi menemui jalan buntu. Enjin carian seperti Hakia, Mahalo dan Search Wikia sehingga hari ini masih belum menggoyahkan kedudukan Google. Malah Yahoo dan Askme.com yang muncul lebih awal sudah berjaya diatasi Google. Setelah bertahun-tahun mencuba, mereka masih belum mampu merampas kembali takhta mereka. Jadi, apakah yang membuatkan Bing begitu istimewa dan harus diberikan perhatian?.

Dipekenalkan kepada umum oleh Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer pada 28 Mei lalu pada satu persidangan di San Diego, Amerika Syarikat, Bing dikatakan mampu memberikan saranan secara langsung sewaktu pengguna menaip perkataan yang hendak dicari. Selain itu, ia turut menyenaraikan carian yang berkaitan dengan keputusan carian pengguna dengan menggunakan teknologi semantik dari PowerSet iaitu sebuah syarikat pembangunan bahasa pengaturcaraan untuk enjin carian yang dibeli oleh Microsoft pada tahun lalu.

Bing juga membolehkan pengguna menyimpan serta berkongsi sejarah carian mereka melalui aplikasi Windows Live SkyDive, e-mel dan laman sosial Facebook. Kemampuan Bing untuk membuat keputusan yang agak tepat dalam satu-satu proses carian dikatakan menjadi kekuatan utama Bing dalam mengharungi persaingan sengit di dalam industri digital pada hari ini.

Sebagai contoh, carian untuk tiket penerbangan tambang murah bukan sekadar menghimpunkan harga tiket tetapi turut memberikan maklumat sama ada tambang tersebut akan naik atau turun, ditambah dengan pautan tempat-tempat menarik, restoran dan acara yang berlangsung di destinasi yang ingin dituju. Keupayaan ini bukan hanya membantu pengguna dalam membuat satu-satu keputusan, tetapi turut membuka mata pengiklan.

Kaedah carian yang diperkenalkan Bing ini tentunya akan menarik pihak yang inginkan logo syarikat mereka terpampang di skrin komputer pengguna ketika membuat carian. Penggunaan Bing bagi tujuan carian juga membolehkan pengiklan memahami sekali gus memperbaiki perkhidmatan atau produk yang ditawarkan yang bertepatan dengan kehendak pengguna.

Hanya masa akan menentukan sama ada Google bakal diatasi oleh enjin carian lain. Sungguhpun hanya berbekalkan laman web yang begitu ringkas, Google telah membuktikan kemunculan mereka menepati kehendak pengguna masa ini. Secara relatifnya, masih banyak yang perlu dibuat oleh Bing dalam menyaingi Google, tetapi yang pasti sedikit sebanyak kemunculannya pasti membuatkan Google akan melipat gandakan lagi usaha mereka bagi memastikan mahkota mereka tidak dirampas!

Dipetik dari Akhbar Kosmo Online, 16 Julai 2009

No comments:

Related Posts with Thumbnails