* Pendidikan Seumur Hidup: Kewujudan Alam Semesta Menurut Saintis Barat

Wednesday, February 3, 2010

Kewujudan Alam Semesta Menurut Saintis Barat





cosmos
Oleh : Ramli Abdul Samad

 "Majalah Sains Online....menarik untuk di baca"
Pengkaji astronomi yakin bahawa alam semesta atau cakerawala terbentuk sekitar 13.7 bilion tahun yang lalu. Bermula dari satu titik sebesar sebiji zarah neutron dan melalui satu letupan besar yang digelar Big Bang maka terbinalah sebuah alam semesta yang amat luas seperti yang kita ketahui kini.
Semasa letupan Big Bang salah satu aktiviti atau proses letupan itu ialah wujudnya gelombang cahaya yang terus berkembang. Semakin lama sehingga lebih dari 300,000 tahun gelombang cahaya itu bertukar menjadi gelombang radio.
Gelombang cahaya itu dikenali sebagai radiasi latar belakang kosmik atau CMB (Cosmic Background Radiation) atau dalam bahasa yang mudah ia merupakan saki-baki gema daripada Big Bang.
Radiasi itu terbentuk saat cakerawala mula mendingin. Saat terjadi Big Bang radiasi dan bahan lain daripada cakerawala adalah bersatu. Ketika itu suhu alam semesta amat panas.
Manusia mengkaji alam semesta berdasarkan kaitan peninggalan gelombang cahaya ini dengan kejadian Big Bang.
Pada tahun 1965 dua orang saintis, Arno Penzias dan Robert Wilson telah menemui bahan CMB ini. Mereka mendapat Hadiah Nobel bagi penemuan mereka dalam bidang fizik bagi tahun 1978.
Namun penemuan CMB itu harus dibuktikan.
Maka satu pemantauan harus dijalankan. Dua orang saintis Amerika Syarikat (AS) John C. Mather dan George F. Smoot telah melakukan pemantaun akan CMB ini melalui sebuah satelit bernama COBE (Cosmic Background Explorer), ciptaan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA).
Mather (60) ialah seorang astrofizik kanan di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard, Maryland milik NASA sementara Smoot (61) ialah seorang Profesor Fizik di Lawrence Berkeley National Laboratory, University of California. COBE dilancarkan ke langit pada tahun 1989.
Satelit COBE diguna untuk mencatat suhu CMB.
Didapati suhu CMB adala sekitar 2.725 Celsius sedikit tinggi daripada titik suhu mutlak iaitu -273 derajat Celsius. Mather mendapati bahawa profil suhu CMB mengikut satu arah aliran tenaga yang disebut sebagai lengkungan benda hitam dan hakikat itu digunakan untuk meramal teori Big Bang.
Smoot pula mendapati adanya fenomena naik turun pada suhu CMB. Penyimpangan atau naik turun CMB adalah kerana terbentuknya bibit-bibit galaksi yang juga merupakan struktur awal cakerawala. Galaksi terbentuk daripada gumpalan gas yang amat panas.
Penyimpangan suhu CMB diguna untuk menganalisis gejala jisim hitam dan tenaga hitam, dua komponen terbesar yang mengisi cakerawala.
Profil CMB dapat digunakan bagi menjelas proses Big Bang dan pemahaman akan alam semesta. Alam semesta bukannya suatu susunan bahan atau tenaga yang merata sebaliknya ia adalah terdiri daripada bahan-bahan yang bergumpal-gumpal.
Kewujudan CMB membolehkan para ilmuwan memperhitungkan perkembangan alam semesta. Alam semesta kini dipercayai terus berkembang dan melebar pada kadar yang cepat.
Mather dan Smoot ialah pemimpin bagi lebih daripada 1,000 saintis, jurutera dan juruteknik yang membina CBM sehingga satelit itu dilancarkan pada tahun 1989. Smoot dan Mather telah dipilih untuk meraih Hadiah Nobel bernilai 10 juta kronor Sweden atau RM5 juta.
Dalam ucapan penghargaan Akademi Sains Diraja Sweden kepada kedua-dua saintis itu menyatakan bahawa “Hasil kajian COBE meningkatkan dukungan penjelasan saintifik terhadap senario Big Bang yang memerihalkan asal usul cakerawala. Senario itu saja yang meramalkan radiasi latar belakang kosmik. COBE telah mengukur gelombang radiasi itu.”
Seorang ilmuwan astronomi, Michael Turner, dari University Chicago, mengatakan bahawa pengukuran-pengukuran yang dibuat oleh COBE akan mengiringi dunia kosmologi ke era ketetapan kosmologi. Pemberian Hadiah Nobel kepada Mather dam Smoot dalam bidang fizik/astronomi merupakan yang pertama dan banyak lagi akan digondol kerana penemuan-penemuan baru dalam bidang kosmologi.
Penulis merupakan seorang pesara & bekas Pustakawan Kanan di Perpustakaan Hamzah Sendut Universiti Sains Malaysian. Sekarang beliau aktif dengan sebuah organisasi NGO di Pulau Pinang.
Nota Editor:// Rencana ini pernah tersiar di Utusan Malaysia bertarikh7/10/2006  dengan tajuk Pengkaji Asal Usul Alam Semesta Raih Hadiah NobelMajalahSains.Com mengambil inisiatif menerbitkan semula rencana ini dengan tajuk yang sedikit berbeza mengikut persetujuan penulis iaitu Encik Ramli Abdul

No comments:

Related Posts with Thumbnails